SEJARAH TAKAFUL DI MALAYSIA


sejarah takaful

Menjadi lumrah kehidupan, akan berlaku perkara-perkara di luar jangkaan kita. Setiap hari kita akan berdepan dengan pelbagai  risiko termasuklah  kemalangan, kerosakan harta benda, kerugian dalam perniagaan, penyakit kritikal dan juga kematian.

Sistem takaful dicipta  sebagai kaedah pengurusan risiko dan  juga sebagai instrumen kewangan, simpanan, perlindungan, pelaburan dan pembangunan sosioekonomi. 

Takaful berlainan daripada insurans konvensional kerana ianya bebas daripada  unsur riba, gharar (perkara-perkara yang tidak jelas , tidak pasti dan diragui) dan juga maisir (judi).

 

SEJARAH TAKAFUL DI MALAYSIA

 

Tercetusnya perkembangan industri takaful di Malaysia sekitar 1980-an, adalah disebabkan keperluan umat Islam pada Ketika itu yang memerlukan satu alternatif lain kepada insurans berbentuk konvensional.

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia yang memutuskan bahawa insurans berbentuk konvensional adalah suatu kontrak yang tidak sah dan keadaan ini  telah banyak mempengaruhi kewujudan dan perkembangan industri takaful pada ketika itu.

 

Pada tahun 1982, Kerajaan telah memutuskan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi tujuan kajian pembangunan syarikat insurans berteraskan Islam di negara kita. Pasukan Petugas ini telah mewujudkan Akta Takaful yang mula berkuatkuasa pada tahun 1984.

 

Definisi Takaful


sejarah takaful


 

Menurut Akta Takaful 1984,  takaful didefinisikan sebagai satu skim yang berasaskan persaudaraan, perpaduan dan bantuan bersama yang menyediakan pertolongan dan bantuan kewangan kepada peserta-peserta jika diperlukan di mana peserta-peserta sama-sama bersetuju untuk memberi sumbangan bagi maksud itu.

 

Takaful dari segi istilah bermaksud

 Penyertaan sekumpulan individu dalam satu skim yang membolehkan mereka bekerjasama dalam menanggung sebarang kemudaratan yang berlaku terhadap salah seorang peserta dengan membayar pampasan yang munasabah kepada ahli yang ditimpa mudarat melalui wang yang disumbangkan oleh peserta-peserta yang dibayar secara ansuran.

.

Perkataan takaful dalam bahasa arab yang bermaksud menjamin, menjaga atau memelihara.

Takaful mengandungi prinsip-prinsip kerjasama, saling tolong menolong dan tanggungjawab bersama yang merupakan asas kepada sistem insurans Islam.

 

Perkembangan industri takaful sehingga hari ini menyaksikan wujudnya banyak syarikat-syarikat pengendali takaful di Malaysia yang menawarkan pelbagai produk dan plan. Setiap satunya mempunyai kelebihan yang tersendiri dan pastinya, kitalah yang perlu bijak memilih produk takaful yang bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan kewangan sendiri.

 

Kronologi Penubuhan Syarikat Takaful Di Malaysia

 

Perkembangan industri takaful di Malaysia bermula pada tahun 1985 dengan penubuhan syarikat takaful pertama iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB).

Kemudiannya MNI Takaful Sdn. Bhd (MNIT) ditubuhkan pada tahun 1993.Pada tahun 2001 Maybank takaful ditubuhkan diikuti Takaful Ikhlas Sdn. Bhd (TISB) ditubuhkan pada tahun 2003. Berikutnya pada tahun 2006, Commerce Takaful Berhad dirasmikan menjadikan takaful ke-5 dalam industri  keseluruhan pada ketika itu.

Disebabkan permintaan terhadap industri semakin baik dan bertambah, Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan empat lesen takaful baharu kepada empat konsortium dengan usaha sama antara institusi kewangan domestik dan asing.

Selaras dengan dasar pemegangan saham semasa, Bank Negara Malaysia telah membenarkan sehingga 49% pemilikan kepentingan ekuiti asing dilaburkan untuk lesen takaful baharu tersebut.


 Antara konsortium yang terlibat ialah:-

1. HSBC Insurance (Asia-Pacific) Holdings Limited, Jerneh Asia

Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

2. Hong Leong Bank, Millea Asia (Japan) Pte. Ltd., dan Hong Leong

Assurance.

3. Bank Simpanan Nasional dan Prudential Holdings Limited.

4. MAA Holdings Berhad dan Solidarity Co., Bahrain.


Susulan pengumuman dua lesen takaful baharu pada 27 April 2009, Menteri Kewangan telah meluluskan dua lagi lesen baharu menjadikan kesemuanya empat lesen takaful baharu di bawah Akta Takaful 1984 di bawah usaha sama seperti berikut :-


TAKAFUL AIA


1. American International Assurance Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad.

2. AMMB Holdings Berhad dan Friends Provident Group plc, UK

3. ING Management Holdings (Malaysia) Sdn Bhd, Public Bank Berhad dan Public Islamic Bank Berhad.

4. The Great Eastern Life Assurance Company Limited, Singapore dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad.

 

Memetik  laporan berita Bernama pada 4 Mei 2020,

“Pasaran takaful di Malaysia terus memaparkan pertumbuhan stabil dan dilihat mampu mengatasi insurans konvensional walaupun sektor kewangan dan insurans global dijejaskan oleh penularan pandemik COVID-19, kata seorang ahli ekonomi dan penulis bebas di London, Mushtak Parker.

Industri takaful di Malaysia turut merekodkan pertumbuhan lebih pesat berbanding sektor insurans konvensional pada 2019, dipacu oleh penggunaan domestik yang stabil serta peningkatan kesedaran pengguna”.

 

 
Untuk lebih Tips Terkini, Sila LIKE Page FB Saya https://www.facebook.com/PakarTakafulAIA


* Semua maklumat adalah pendapat peribadi saya dan tidak mewakili mana-mana syarikat insurans dan takaful. Sila hubungi syarikat insurans dan takaful terlibat untuk maklumat lanjut. Semua maklumat dalam blog ini tidak dibenarkan untuk disebarkan atau diterbit semula tanpa kebenaran saya.

Catat Ulasan

0 Ulasan